Jualan pelekat itu sudah ditarik sejak 2019 - MR DIY


 Kuala Lumpur: Kumpulan MR DIY (M) Berhad (MR DIY) tampil menjelaskan penjualan pelekat berbentuk tapak kaki tertera kalimah Allah dan Nabi Muhammad di premis mereka sudah ditarik sejak Februari 2019.


Kumpulan MR DIY menerusi kenyataan di Facebook rasmi hari ini memberitahu video yang tular baru-baru ini adalah video lama yang disiarkan pada 2019.


"Apabila perkara itu dibawa ke perhatian kami pada ketika itu, tindakan segera diambil untuk menarik balik produk berkenaan dari premis kami.


"Barangan itu juga dihapuskan dengan secara baik.



"Produk itu dilupuskan secara mulia dan tertib pada bulan sama selepas rundingan diadakan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," kata kenyataan itu.


MR DIY memberi jaminan bahawa produk itu tidak lagi dijual di mana-mana cawangan seluruh negara.


Terdahulu tular di media sosial rakaman menunjukkan pelekat berbentuk tapak kaki mempunyai kalimah Allah dan Nabi Muhammad.


Ia susulan penjualan stoking dengan kalimah Allah di KK Super Mart sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Comments